Yusni(Teori Pendidikan Abad 21)



Pelbagai pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran masih diperlukan memandangkan perbezaan gaya pembelajaran pelajar. Memandangkan senario abad ke 21, yang membayangkan kegunaan komputer yang begitu meluas, pengajaran dan pembelajaran berbentuk komputer akan menjadi satu kaedah yang ditumpukan. Ini juga bersesuaian dengan prinsip 'mastery learning' yang mana pelajar boleh belajar tanpa bimbingan guru. Walau bagaimanapun peranan guru sebagai mu’allim, murabbi, muaddib, muhallil, dan qiadi masih kekal, malah perlu dimantapkan khususnya dalam menghadapi ‘kerenah globalisasi’ . Di samping itu, terdapat beberapa amalan profesional yang perlu dikuasai dan dihayati oleh para pendidik bestari:
a)    Menterjemah kandungan kurikulum sebagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bermakna
b)   Menguasai dan bijak mengguna alat teknologi terkini di samping dapat memanfaatkannya ke arah mengoptimumkan proses pengajaran dan pembelajaran
c)    Pengajaran dan pembelajaran bermakna dan berfikrah melalui penguasaan kemahiran generik
d)    Membantu pelajar mengenal pasti matlamat pendidikan, hala tuju bagi pelajarnya, memantau kemajuan pelajar, dan kemudian menyediakan ruang untuk pelajar belajar mengikut kadar kendiri
e)    Bertanggungjawab menyediakan suasana yang menggalakkan pembelajaran terarah kendiri yang kreatif dan berdikari
f)     Sumbangan kreatif dan inovatif khususnya dalam menghasilkan pakej pembelajaran bestari yang boleh membantu pembelajaran pelajar ke arah akses kendiri

Menurut Tg.Zawawi, pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu dikuasai dan diamalkan oleh para pendidik bestari. Antaranya strategi inovatif yang berasaskan teknologi seperti perbincangan dengan rakan yang jauh, pembelajaran jarak jauh, penggunaan data sebagai sumber maklumat, memproses maklumat dan menghubungkan dapatan; merujuk ensaiklopedia eletronik; belajar dari courseware eletronik dan komunikasi eletronik. Penekanan perlu diberikan kepada aspek konteks di dalam meningkatkan kefahaman konsep baru. Untuk itu, aplikasi multimedia membolehkan pembelajaran dalam konteks digunakan untuk mengajar pengetahuan dan kemahiran yang relevan. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan pembelajaran akses kendiri.

Terdapat beberapa teori yang dikemukakan mengenai pembelajaran , setiap teori mempunyai konsep atau prinsip tersendiri tentang proses belajar. Berdasarkan berbezaan sudut pandang ini maka teori pembelajaran tersebut dapat dikategorikan kepada beberapa bahagian . Sejauhmana penggunaan teori dan pentingnya teori-teori yang dibincangkan itu akan menjelaskan konsep pengajaran dan pembelajaran dalam mereka bentuk perisian PPBK.
 
a)   Teori Tingkahlaku (Behavioris)
Mengikut pendekatan teori tingkahlaku , setiap rangsangan menimbulkan tindakbalas dan pembelajaran yang berlaku akibat kaitan dengan rangsangan dan gerak balas. Sesuatu rangsangan yang berkaitan dengan rabgsangan yang lain akan mendatangkan pembelajaran yang dikenali sebagai pelaziman. Contohnya dalam pembelajaran asas perkakasan komputer minat pelajar terhadap tajuk adalah disebabkan cara penyampaian pengajaran yang baik menyebabkan pelajar memberikan perhatian. Rangsangan yang pertama ialah komputer dan rangsangan kedua ialah cara pengajaran yang menarik. Oleh kerana perkaitan antara keduanya adalah positif maka gerakbalas yang berlaku juga positif. ingkahlaku memberikan perhatian akan dilazimkan ,iaitu pelajar akan terus memberikan perhatian apabila belajar mengenai komputer. Tumpuan pembelajaran adalah kepada tingkahlaku luaran yang dipengaruhi oleh peneguhan. Kebanyakkan pembelajaran yang dijalankan adalah tanggungjawab guru dan dikawal sepenuhnya oleh perekabentuk pengajaran atau sistem pengajaran seperti komputer yang digunakan. Prinsip utama teori ini ialah rangsangan dan gerakbalas serta peneguhan. Dalam perisian kursus PPBK , tumpuan objektif penggunaan ialah hanya pada peringkat kefahaman dan pengetahuan. Teori ini akan berpegang kepada anggapan bahawa pembelajaran perisian kursus PPBK merangkumi tanggungjawab guru, dan dikawal sepenuhnya oleh pereka bentuk pengajaran atau sistem pengajaran. Teori ini juga berlandaskan kepada anggapan bahawa pelajar akan mengekalkan sesuatu tindakan jika peneguhan yang bersesuaian diberikan kepadanya. Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar diberikan ganjaran selepas menunjukkan sesuatu gerakbalas, ia akan mengulangi tindakbalas tersebut setiap kali rangsangan yang serupa ditemui. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran perisian PPBK ini, guru perlu memahami tingkahlaku-tingkahlaku pelajar yang dapat meningkatkan pembelajaran pelajar semasa kegiatan pembelajaran. Prinsip-prinsip teori tingkahlaku yang diterapkan meliputi:
            i.        proses belajar boleh berlaku dengan baik apabila pelajar ikut aktif di dalamnya
           ii.        bahan pelajaran disusun dalam urutan yang logic supaya pelajar dapat mempelajarinya dengan mudah serta dapat memberikan respon tertentu
          iii.        tiap-tiap respon harus diberi maklum balas secara langsung supaya pelajar dapat mengetahui apakah respon yang diberikan adalah benar
         iv.        setiap kali pelajar memberikan respon yang benar haruslah diberi ganjaran dan motivasi
Menurut (Hartley & Davies, 1978) beberapa prisip teori tingkahlaku yang diterapkan di dunia pendidikan meliputi:
            i.        proses belajar dapat berlaku dengan baik apabila pelajar ikut aktif di dalamnya
           ii.        bahan pelajaran disusun dalam urutan yang logic supaya pelajar mudah mempelajarinya dan dapat memberikan respon tertentu
          iii.        tiap-tiap respon harus diberi maklum balas secara langsung supaya pelajar dapat mengetahui adakah respon yang diberikan adalah benar
         iv.        setiap kali pelajar memberikan respon yang benar maka ia perlu diberi penguatan

Beberapa prinsip prinsip utama teori tingkahlaku pelaziman yang yang dikemukakan oleh Pavlov boleh diaplikasikan dalam merekabentuk perisian PPBK ini ialah:
      i.        mengaitkan pengalaman yang positif dan baik dengan tugasan pembelajaran.Guru perlu menggalakkan aktiviti kumpulan di kalangan pelajar untuk memberikan kesan yang lebih terhadap pelajar disamping menghilangkan perasaan takut pelajar sekiranya aktiviti dijalankan secara individu
     ii.        pelajar boleh mempelajari dengan mengaitkan antara ransangan dan tindakbalas. Ini bermakna tingkahlaku pelajar boleh dilazimkan untuk gerakbalas yang diingini oleh guru.
    iii.        Rangsangan dan gerakbalas diperkukuhkan melalui latihan yang diberikan. Pelajar yang menerima peneguhan positif seperti ‘bagus’, ‘anda berjaya’, ‘jawapan anda betul’ akan mendorong pelajar terus melakukan yang terbaik secara berterusan walaupun tidak lagi menerima pujian
   iv.        Pembelajaran akan dapat dipertingkatkan dengan mengadakan perbincangan, projek dan aktiviti kumpulan di kalangan pelajar
    v.        Motivasi boleh membangkitkankan tingkahlaku positif dengan memberikan ganjaran yang sesuai. Contohnya memberikan pujian, kata-kata perangsang serta menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan
Menurut Gagne,Briggs&Wager (1992) terdapat Sembilan elemen utama untuk sesuatu pengajaran iaitu:
      i.        menarik perhatian
     ii.        menyatakan objektif pelajaran
    iii.        merangsang proses mengingat semula kandungan lepas
   iv.        bahan-bahan yang boleh menimbulkan rangsangan pelajar
    v.        memberikan bimbingan
   vi.        tugasan dan soalan
  vii.        membuat penilaian tahap penguasaan pelajar
 viii.        mengekal dan mengembangkan pengetahuan dan kemahiran pelajar

Dalam mereka bentuk perisian PPBK ini, pendekatan menggunakan teori tingkahlaku di atas dapat diaplikasikan seperti berikut:
      i.        perisian yang dibangunkan haruslah menarik perhatian pelajar. Untuk mewujudkan suasana ini, pembangunan perisian ini dimasukkan unsur-unsur grafik yang bersesuain dengan persembahan multimedia yang bertujuan untuk mendapatkan perhatian pelajar. Ini sememangnya sudah menjadi kelaziman manusia yang suka melihat gaya persembahan yang menarik atau lebih tepat lagi berorientasikan penglihatan
     ii.        penyataan objektif pengajaran dan pembelajaran. Menurut Gagne pernyataan objektif ini merupakan motivasi untuk pelajar mengetahui objektif pembelajaran yang harus dicapai. Pernyataan objektif haruslah disampaikan dengan cara yang menarik sama ada melalui teks atau animasi yang menarik.
    iii.        persembahan dan perisisan boleh meningkatkan rangsangan kepada pelajar. Oleh itu dimasukkan juga elemen-elemen yang boleh mewujudkan suasana menarik. Selain itu penggunaan unsur audio yang menarik juga perlu.
   iv.        beberapa latihan dan tugasan yang berbentuk soalan objektif, subjektif dan kuiz harus dimasukkan dalam perisian ini. Tujuannya adalah untuk mengesan dan menilai kemajuan atau tahap penguasaan pelajar. Setiap jawapan kepada setiap soalan atau latihan akan akan diberikan maklumbalas yang positif kerana ini akan menimbulkan rangsangan dan motivasi kepada pelajar untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka disamping dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari.
    v.        Penilaian di akhir pengajaran dan pembelajaran. Penilaian dan maklum balas tahap penguasaan pelajar boleh mengukuhkan ingatan dan membantu pelajar mengaplikasikan pengetahuannya dalam situasi pengalaman pembelajaran yang lebih mencabar. 

b)   Teori Konstruktivisme
Menurut konstruktivisme, pelajar tidak lagi dianggap belajar daripada apa yang diberikan guru atau sistem pengajaran tetapi secara aktif membina realiti mereka sendiri dan pada masa yang sama mengubahsuai realiti tersebut. Ini adalah sesuai dengan pengajaran dan pembelajaran PPBK . Perisian PPBK ini memerlukan pelajar yang aktif mengaplikasikan pengetahuan dalam membina realiti mereka sendiri. Segala pengetahuan dibina oleh pelajar tidak disokong dari pengetahuan luar. Dick (1997) menyatakan bahawa konstruktivisme hanya mencadangkan kaedah dalam mana persekitaran pemelajaran boleh disusunatur dan diurus supaya dapat membekalkan pelajar dengan konteks terbaik untuk belajar. Pembelajaran akan melibatkan pelajar yang aktif dengan mencari pengetahuan dan melibatkan kerja-kerja merekabentuk. Teori ini juga beranggapan bahawa pelajar mampu untuk membuat penyelidikan, menganalisis, mempersembahkan maklumat berkenaan perisian kursus PPBK.
          Penggunaan teori konstruktivisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan mereka bentuk perisian PPBK asas perkakasan komputer ini dapat dapat dilihat melalui aktiviti-aktiviti berikut:
                      i.        pelajar berpeluang mengemukakan pandangannya tentang sesuatu konsep
                     ii.        pelajar berpeluang berkongsi persepsi antara satu sama lain
                    iii.        pelajar menghormati pandangan alternative rakan-rakan mereka
                   iv.        semua pandangan pelajar dihormati dan tidak dipandang rendah
                    v.        pembelajaran berpusatkan pelajar
                   vi.        aktiviti berasaskan ‘hang-on’ dan ‘mind-on’
                  vii.        mementingkan kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir
                 viii.        pelajar mengaplikasikan idea baru dalam konteks yang berbeza untuk mengukuhkan kefahaman idea tersebut
                   ix.        pelajar menghubungkaitkan idea asal dengan idea yang baru dibina
                    x.        guru menyediakan alat/bahan yang sesuai
                   xi.        pelajar digalakkan mengemukakan dan bukan guru menerangkan teori
                  xii.        guru mengemukakan soalan yang boleh merangsang pelajar mencari jawapan
                 xiii.        guru tidak menyampaikan maklumat secara terus kepada pelajar
                 xiv.        pelajar banyak berinteraksi dengan pelajar lain dan guru
                  xv.        guru prihatin terhadap keperluan,kebolehan dan minat pelajar
                 xvi.        pelajar bekerja dalam kumpulan

c)   Teori Kognitif
Teori kognitif adalah berkaitan dengan ingatan iaitu ingatan jangka panjang dan ingatan jangka pendek. Salah satu daripada teori kognitif ialah pemprosesan maklumat yang digunakan dalam pengajaran pembelajaran. Teori ini juga menyediakan pembelajaran aktif dimana pelajar bertindak secara aktif memperoleh, menstruktur semula dan mengkaji pengetahuan untuk menjadikannya bermakna. Pelajar memerlukan kepada pemindahan pembelajaran dan pengetahuan. Teori ini lebih menekan kepada pengetahuan kini dan pengetahuan yang lepas.







1 comments:

  1. As Salam, saya amat tertarik dengan penulisan saudara Yusni. Terima kasih saya ucapkan kerana saudara sudi berkongsi ilmu pengetahuan mengenai teori pembelajaran abad ke21 yang sangat membantu kami. Cumanya saya ingin tahu mengenai artikel yang dibuat oleh Tg Zawawi, bilakah ia dibuat dan jika boleh saudara berikan tajuk artikel yang dibuat oleh beliau kerana saya ingin mendalami lebih lagi mengenai topik ini. Terima kasih

    ReplyDelete